Wednesday, December 10, 2008

KENAPA PULA LEBAH DIBENCI ?

Ini satu tulisan yang saya ingin berkongsi dengan kawan-kawan dan sekelian Muslimin dan Muslimat. Ianya dari pena Al-fadhil al-Ustaz Zhulkeflee Hj Ismail.
-------------------------------------------------------------------
Rencana asal dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Zhulkeflee
yang dimuatkan dalam majalah "Risalah" terbitan PERGAS
(Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura)

---------------------------------------------------------------------


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ




KENAPA PULA LEBAH DIBENCI ?


Terdapat banyak hikmah dan rahasia di dalam setiap ciptaan Allah s.w.t. Hanya manusia yang mahu berfikir dengan jujur dan insaf sahajalah yang akan memahami hakikat ini seraya bersyukur serta bertasbih mensucikan Zat yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana. Mereka sedar, betapa jika dibandingkan pengetahuan mereka dengan ilmu Allah itu betapa kurangnya ilmu yang dipunyai, dan tidaklah patut seorang manusia mengatakan tentang sesuatu berdasarkan kefahamannya yang cetek. Apa lagi jika tujuan memburuk-burukan keberadaan makhluk ciptaan Allah ini sengaja dibuat supaya membangkitkan kemarahaan orang terhadap makhluk itu sehingga mungkin membawa kepada pemusnahan makhluk tersebut. Kita umat Islam dianjurkan supaya mencontohi para Malaikat yang apabila disedarkan oleh Allah kepada kesilapan sikap menyoal sesuatu, yang hakikatnya belum mereka ketahui, mereka bertasbih, Sub-haa-naka Laa-‘ilma-lanaa il-laa maa-‘al-lam-tanaa, in-naka antal-‘alee-mul-Hakeem “Maha Suci Engkau (Ya Allah!) Tidaklah kami punyai apa-apa ilmu melainkan hanya apa yang Engkau telah mengajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui Maha Bijaksana!”.


Apakah salahnya bangsa lebah, yang sememangnya diciptakan oleh Allah s.w.t. sebagai lebah? Tidakkah bangsa lebah juga mempunyai hak asasi untuk hidup sebagai lebah? Apakah salah bangsa lebah, hanya kerana ada orang yang pernah disengati beberapa lebah? Apabila seekor lebah menyerang sehingga mengakibatkan kematian dirinya sendiri, apakah patut kita katakan dia telah ‘membunuh dirinya sendiri’ (suicide)? Apakah sebabnya? apa puncanya? Dan apakah benar yang menyengati mereka itu adalah dari golongan lebah? Perlulah diselidiki, kerana serangga yang boleh menyengat itukan banyak jenisnya. Apakah benar bangsa lebah itu sifatnya ganas dan buas? Apakah lebah hidup itu hanya untuk menyerang orang dan amat berbahaya kepada makhluk lain? Sehinggakan ada orang yang bersorak dendam dan menghasut agar ibu permaisuri lebah dijadikan sasaran pemburu? Salahkah ibu lebah mengandung anaknya lebah? Salahkah setiap lebah dididik dan dinasihati agar menjadi lebah? Salahkah lebah menjadi lebah?


Mengapakah mereka melupakan ……………


“Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: ‘Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia’ Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”


(Qur’an: al-Nahl: 16: 68-69)





Maha Suci Tuhan yang amat indah pengajaranNya. Sebagai renungan mendalam kepada perumpamaan ini, Rasulullah s.a.w. pernah menganjurkan agar ummat Islam mencontohi sikap dan peri hidup lebah (“In-na mathalal-mu’-minee-na ka-mathalin-nahlati.” Sesungguhnya perumpamaan orang yang beriman itu adalah seperti lebah. – al-Hadith). Dan kalaulah difikir dan dibandingkan sejarah ummat Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi hingga sekarang, akan jelas terlihat banyak persamaan ummat ini dengan bangsa lebah.


Ilham/Wahyu sebagai panduan hidup

Hidup lebah amat mengharapkan ilham dari sang Penciptanya didalam menjalani penghidupan. Begitulah juga hakikat penghidupan ummat Islam itu juga adalah berdasarkan wahyu dari Sang Pencipta yang sama, Allahu Rob-al-‘Aalameen (Allah Tuhan Pengatur Semesta Alam). Tidak kira dimana mereka tinggal atau berada, masing-masing anggota mereka tahu akan peranan masing-masing dan akan senantiasa giat-gigih berusaha sedaya mampu melaksanakan tuntutan yang ditugaskan. Mereka ini amat rajin dan berdisiplin dalam melaksanakan tugas dan penghidupan. Ta’at kepada perintah dan beradab dalam bermasyarakat (berjama’ah).

Pada mencari makanan, mereka dianjurkan (melalui wahyu dan ilham) agar mencari dari hanya yang “halal, lagi baik” (halaa-lan-toy-yiban : Qur’an: al-Baqarah: ). Mereka akan pergi ke-tempat-tempat yang bersih, wangi dan indah. Mereka diperintahkan agar mengelak jauh dari benda dan tempat yang kotor dan busuk. Mereka juga diperintahkan “dan janganlah melakukan kerosakkan di muka bumi” (wa-laa tufsidu fi-al-ardh : Qur’an: al-Baqarah: ) seperti mana sang lebah tidak pernah akan merosakkan bunga atau mematahkan ranting mana-mana tanaman. Maka berkembang biaklah mereka dimuka bumi secara aman dan memakmurkan penghidupan-penghidupan yang lain.


Silang pendebungaan (cross-pollination)

Dalam penghidupan lebah, ianya amatlah berperanan mengembangkan penghidupan tumbuh-tumbuhan melalui silang pendebungaan (cross-pollination). Persamaan ini juga terlihat dari penghidupan dan tammaddun yang dipelopori oleh Islam. Banyaklah perbendaharaan ilmu dan hikmah dari berbagai negara dan tammaddun silam ditemui semula dan digarap serta disebarkan kepada bangsa-bangsa yang lainnya oleh Islam. Manfaat dari keberadaan ummat Islamlah mencetuskan kebangkitan tammadun Barat setelah sekian lama mereka (Eropah) mengalami zaman kegelapan mereka (the Dark Ages).

Kalau diteliti sejarah dengan jujur, tammaddun yang di pelopori oleh Islam dan ummat Muslim inilah suatu tammadun yang benar-benar kosmopolitan (yakni menglibatkan berbagai kaum, bangsa dan agama (bukan hanya satu kaum atau ras), bahkan tammaddun yang dipelopori Islam menggalakkan kepada perkongsian berbagai ilmu dan amalan yang bermanfaat dan baik dari berbagai bangsa. Konsep ‘ummah’ yang setiap Muslim fahami itu, jika diteliti, mirip kepada apa yang sekarang digembar-gemburkan sebagai masyarakat ‘global’, dan ini telah pun diperkenalkan jauh lebih awal lagi iaitu semenjak kebangkitan Rasulullah Muhammad s.a.w., utusan Allah terakhir dan penutup segala Nabi-nabi.


Madu

Hasil dari usaha lebah adalah berbagai warna dan jenis madu, yang keluar dari yang suci dan mengandungi berbagai penawar untuk manusia. Kebaikan dan manfaat daripada madu lebah ini sudahpun diakui, sehinggakan manusia mengusahakan pembiakan lebah di ladang-ladang dan kebun kerana mereka juga sedar, selain manfaat mendapat madu, keberadaan lebah mampu meningkatkan juga penghasilan bebeberapa tanaman mereka. Kesamaannya kepada Islam dan ummat Islam dapat dilihat dari sudut berbagai-bagai anjuran Islam kepada usaha-usaha menghilangkan permasaalahan yang di hadapi manusia - dari usaha pembasmian kejahilan dengan pendidikan; penghapusan kepalsuan dengan menganjurkan berpegang kepada kebenaran; menggalakkan pencapaian kefahaman berdasar ilmu yang sah dan bukan berdasarkan syak dan waham; menghapus kejumudan dan perhambaan kepada nafsu dan keatas sesama insan; menganjurkan agar manusia menjaga dan meningkatkan keluhuran budi pekerti dan sifat kemuliaan; mendukung serta menghormati kebebasan hak-hak asasi manusia dengan mengetengahkan konsep tasamuh dalam hidup bermasyarakat majmu’; mengutamakan perdamaian daripada permusuhan, mendukung keadilan untuk semua dengan tidak membenarkan diskriminasi oleh sesiapa atas sesiapapun; dan menganjurkan kepada perlakuan ihsan sesama insan.

Mungkin ada yang akan mengatakan, “ini semua sekarang tidak kelihatan pada ummat Islam!” Perlulah diperjelaskan bahwa kebaikan (madu) dari Islam itu adalah ajarannya yang mampu mengobati setiap penyakit yang melanda manusia, khususnya mereka yang sudah beriman. “Dan Kami (Allah) turunkan dari Al-Qur’an ini suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Wa nunaz-zilu minal-Qur’aani maa-huwa shi-faa-un wa-rah – matun – lil - mu’-mi-neen: Quran : al-Isra’ : 17 : 82). Maka ini jelas menunjukkan bahwa tidaklah boleh disamakan “Islam” itu dengan ummatnya yang disebut dengan istilah “Muslim”.

Sayangnya, ummat Islam sendiri sekarang ini mengalami berbagai ‘penyakit’ yang perlu kepada penyembuhan melalui pengamalan ajaran Islam itu sendiri. Ini diburukan lagi apabila sesetengah pihak menganggap ‘penyakit’ yang ada pada ummat Islam sekarang adalah disebabkan oleh Islam! Padahal ad-Deen al-Islam itulah satu-satunya obat yang mampu membaiki ummat Muslim yang menderita sekarang. Namun amatlah disedihkan jika ada pihak yang tidak menyukai kalau ummat Islam yang sedang merana itu, kembali menghayati agamanya demi untuk mendapatkan pemulihan. Amat zalimlah mereka yang melarang pesakit mendapatkan satu-satunya obat mujarrab bagi membaiki kesakitan yang mereka deritai !


Identiti

Seperti lebah, identiti seorang Muslim akan juga dikenali secara lahiriyah. Lebah dengan warna kuning berjalur hitam pada badannya, Muslim-Muslimat pada pakaian, tingkah laku dan adab pergaulan hariannya. Pada sisi lebah, identiti mereka itu wajar diketahui dan menampakkannya tentunya adalah tidak salah – kan?. Janganlah kita merasa tidak senang kerana mereka mempunyai sifat-sifat kelainan mereka sendiri. Tidaklah perlu merobah sifat yang sememangnya ada pada lebah. Dan lebah mungkin perlu menyedari dirinya itu lebah. Seperti lebah, ummat Islam juga sememangnya mempunyai identiti tersendiri yang terserlah secara lahiriyah. Tentulah ada ciri-ciri kelainan yang mungkin juga dianggap aneh, tetapi inilah hakikat alam yang pasti ada perbezaan dalam jenis-jenis makhluk. Sayang jikalau di alam serangga, kelainan lebah dapat di terima oleh serangga-serangga yang lain, dan mereka hidup saling harmonis dengan tidak memaksakan cara satu serangga keatas serangga jenis yang lain, mengapakah pada alam manusia, kini, identiti seorang Muslim dipertikaikan? Kelainan identiti yang terdapat pada diri seorang Muslim dipersoalkan? Pakaian sopan Muslim menutup aurat seolah-olah dibenci dan ditegah. Sebaliknya mereka telah pun membiarkan atau menggalakkan pula budaya-budaya, walaupun budaya tersebut itu bercanggah dengan nilai kesopanan, dan yang asalnya pula memang budaya asing. Mengapa mereka bersikap begini? Tidak-kah ini dikatakan ‘prejudis’?

Merobah sifat lebah?

Adakah kerana kelainan sifat lebah maka kita anggap bangsa lebah ini tidak akan dapat hidup secara harmonis dalam alam serangga? Mestikah lebah ‘dipaksa berubah’ identitinya kerana kelainan yang ada pada identiti semulajadinya itu terlalu menonjol sangat? dan dipatutkah kerana belainan ini lebah dituduh sebagai penghambat perpaduan serangga? Dan jika dipaksa juga untuk berubah, kepada jenis apakah lebah itu harus ikuti? Lalat? Tebuan? Kunang-kunang? Nyamok? Kupu-kupu? Dan tidakkah ini akan menimbulkan kebingungan kepada setiap dari bangsa lebah itu sendiri? Tidakkah nanti akan menjadi amat berbahaya sekiranya terdapat lebah-lebah yang lupa diri dengan menyangka mereka itu adalah jenis tebuan? Yang kalau dibandingkan dengan bangsa lebah, mereka tebuan ini sememangnya lebih lekas mengganas?

Mungkin yang amat tidak disenangi pada identiti lebah adalah senjata yang terdapat pada sengatnya, yang semulajadi dikurniakan Allah s.w.t. yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Tetapi tidak-kah kita fahami bahwa sengat lebah itu adalah diperlukannya agar ia mampu mempertahankan kewujudan bangsa lebah dari di pijak dan ditindas; untuk mempertahankan diri, rumah dan masyarakatnya? Bukan sekali-kali untuk menindas, tetapi hanya supaya ia tidak ditindas. Dan agar makhluk yang lain menghormati keberadaannya, ciri-ciri unik lebah yang terserlah itu menjadi semacam tanda amaran kepada mereka. Dan lagi, setiap lebah tahu bahwa apabila sengatnya digunakan, ini akan mengakibatkan kematiannya sendiri. Maka dari itu amatlah jarang kedapatan lebah yang menggunakan sengatnya dengan sewenang-wenang atau tanpa sebab.

Serupa juga dengan lebah, ramai manusia yang meluahkan rasa tidak senang pada ummat Islam sekarang ini, khususnya kerana ajaran Islam tentang konsep “Jihad'. Walaupun kekata “Jihad' itu umum dan bererti "bersungguh-sungguh" yakni dalam melaksanakan tuntutan Allah, dan ianya mempunyai wadah-wadah tertentu menurut hal dan keadaan (yang kebanyakannya bersangkutan dengan usaha memperbaiki diri dan masyarakat secara aman dan damai). Yang membuat mereka kurang senang adalah khususnya konsep 'jihad bi-saif' ("berjuang dengan pedang" – memikul senjata) yang tersenarai juga diantara konsep jihad itu. Oleh kerana ini, mereka menuduh Islam sebagai agama yang mendukung dan menggalakan keganasan dan peperangan. Mereka ingin supaya ummat Islam menghapuskan konsep ini dari ajaran Islam. Sayang sekali kalau ada beberapa Muslim yang, (tanpa ilmu yang sahih dengan mengenepikan rujukan kepada para ulama' Islam), bersetuju dan menyatakan juga kebencian mereka terhadap konsep jihad, terutama "jihad bi-saif" dengan kata-kata – "ianya tidak relevan lagi", atau "dengan adanya ajaran jihad ini, ianya hanya memburuk-burukan imej Islam sahaja" dan sebagainya. Sedarkah mereka bahwa yang diperkatakan ini adalah ajaran Islam, ajaran yang jelas dari Allah.sw.t. dan Rasul-Nya s.a.w.

Apakah mereka ingin menghilangkan sengat, yang sememang semulajadi ada pada lebah? Dan apa-lah lebah itu kalau ia tidak mempunyai sengatnya? Perlu diingat sedangkan dengan mempunyai sengat, kadangkala bangsa lebah dijadikan mangsa oleh manusia yang rakus akan madunya. Apa lagi kalau hilang sengat.

‘Lebah’ yang mengganas?

Mungkin ada yang akan membawa isu Muslim yang dikatakan 'mengganas'.

Tetapi sekiranya ada orang yang disengati lebah, tentukan dahulu sebab-musababnya. Selalunya ini berlaku apabila ada semacam kesilapan membaca isyarat (signal) sehingga sang lebah itu mungkin benar-benar terasa terancam. Ini kadangkala terjadi walaupun pada lebah-lebah yang sehat.

Mungkin ada lebah-lebah yang (boleh dikatakan) 'tidak sehat' sehingga tidak berfungsi seperti lebah-lebah yang normal. Seperti ada sang lebah yang dikelirukan oleh pancaran gelombang gema yang berlegar di udara (sound wave signals) yang mengakibatkan kebingungan terjadi dalam mereka menerima arahan sebenar dari atasan mereka. Atau kerana mereka terlalu jauh terpisah dari masyarakat mereka sehingga mereka kehilangan pedoman. Atau ada lebah yang sengaja di pisahkan dan didik dimakmal untuk, konon-nya merubah tabiatnya. Percobaan konon-nya untuk melahirkan 'lebah-lebah jenis baru' dan kemudian dilepaskan kepada khalayak ramai. Sekiranya tindak-tanduk 'lebah-lebah jenis baru' ini pula mendatangkan kerosakan (na-‘udzu-billaah!), apakah seluruh bangsa lebah nanti dipersalahkan? Sebenarnya, memulihkan kesehatan lebah-lebah sedemikian itu agar mereka benar-benar menjadi lebah sejati-lah yang sepatutnya diusahakan dan digalakkan. Hakikatnya adalah serangga jenis lebah ini tidak-lah ganas dan berbahaya. Dengan membuat tuduhan secara umum akan membuat seluruh bangsa lebah menjadi resah. Kalau mereka semua mengamok nantikan susah!

Atau mungkin ada juga lebah yang menyengat tetapi kerana benar-benar mempertahankan hak mereka. Mungkin kerana sarang mereka dirosak atau keluarga mereka diusir dari kediaman dan kampong halamannya. Apakah sekira ini yang berlaku sang lebah itu dipersalahkan?

Maka dari itu, hendaklah sebelum kita menghukum sesuatu perbuatan itu sebagai pengganasan, perlulah diselidiki latar belakangnya secara adil dan saksama.

Demikian jugalah harus diteliti isu Muslim yang dikatakan ‘mengganas’. Kalau kita jujur ingin mengetahui puncanya, haruslah berhati-hati jangan sampai membuat andaian yang terlalu dangkal sehingga berani menuding dengan menggunakan istilah yang akan melibatkan (merangkumi) semua mereka yang mendidik. Apa lagi kalau ianya juga membabitkan nama institusi pendidikan. Kalau benar mereka mendidik keganasan (berselindung disebalik nama agama) ini sesungguhnya kebalikan dari tabiat permaisuri (ibu) lebah, mungkin ini permaisuri ‘tebuan’ yang seludup menyamar sebagai ‘lebah’. Tentunya ini suatu pengecualian (exception) daripada norma biasa. Kalau kita jujur menggunakan istilah, kerana yang ingin kita paparkan adalah sesuatu yang salah (yakni pengganasan), maka mestilah dipanggil pelakunya dengan gelar ‘penjenayah’, bukan dan harus dipisahkan dari peranan seorang yang mendidik. Janganlah mengkaitkan tugas suci mendidik dengan usaha jenayah. Dan perlu diingat, untuk menuduh sesorang itu penjenayah kita mestilah juga bersikap adil dengan mendatangkan bukti yang dapat disabitkan kesalahan tersebut. Bukan menuduh melulu. Kalau bangsa ‘tebuan’ diberikan penghormatan didalam kata peribahasa “sarang tebuan jangan dijolok” – tidak berarti kerana yang diperkatakan adalah lebah, maka amaran supaya jangan diusik ini tidak perlu diikuti!

Selama ini dan sehingga sekarang pun, apabila terdapat bangsa serangga jenis lain yang mengganas, serangga-serangga yang mengganas itu sahajalah yang patut di curigai dan tidak pula dibabitkan keseluruhan bangsa serangga tersebut. Itu pun jarang-jarang melibatkan lebah. Persamaan ini juga kedapatan dalam penyebaran maklumat di media massa terhadap ummat Islam. Apabila yang kedapatan ‘mengganas’ itu adalah Muslim, maka seolah-olah dikaitkanlah nama agama Islam atau ditekankan identiti ‘Muslim’-nya pengganas itu. Namun sekiranya yang kedapatan ‘mengganas’ pula adalah mereka yang dari agama lain, hal yang sama (yakni mengkaitkan agama pengganas tersebut) tidak pula dilakukan oleh media massa. Mengapa perbezaan sikap dalam mengeluarkan berita? Mengapa berat sebelah? Apa maksud apa tujuan? Siapa dalangnya?

Adakah lebah yang moderat?

Sangking hebatnya usaha memburuk-burukkan Islam sehingga ditimbulkan pula perbahasan dan perbincangan tentang siapakah Muslim ‘moderat’ (moderate) untuk membezakan kelompok ini dari Muslim yang ‘melampau’ (extremist). Seolah-olah apabila setiap Muslim yang terlibat pada keganasan itulah yang dikatakan ‘melampau’ dengan tidak mengirakan sebab-musababnya dahulu; dengan menimbang perbuatan ‘pengganasan’ mereka ini pada timbangan keadilan dan ajaran agama yang mereka anuti. Umpamanya, mereka yang memperjuangkan hak mereka. Patutkah mereka yang dihalau dan ditindas; yang ramai keluarga mereka disiksa dan dibunuh; yang hak untuk hidup diragut dengan kejamnya sehingga mereka ini terpaksa ‘mengganas’ demi mendapatkan pembelaan sendiri, kerana dunia pun tidak melakukan apa-apa untuk membela mereka yang malang dan pilu menderita? Sesungguhnya pengkategorian Muslim kepada ‘moderat atau melampau’ itu tidak relevan. Yang relevan adalah, “apakah seorang Muslim itu mengikuti ajaran Islam atau tidak?” Yang tidak menuruti ajaran Islam adalah mereka yang mengurangi (meremehkan atau sengaja menentang prinsip) ajaran Islam atau melebihi batas (mengada-adakan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip) Islam. Dan ajaran Islam itu cukup lengkap memberi bimbingan kepada cara ummat Islam mengatasi sesuatu keadaan, yakni secara ‘adil dan ihsan (In-nallaaha ya’-muruu bi-adli-wal-ih-saan).

Kalau kita ummat Islam sudah yakini tentang Islam, yang menganjurkan cara hidup kita sebagai ummat pertengahan (ummatan wasotan), tidak perlulah perbincangan tentang ‘moderat’ atau tidak. Ummatan wasotan ini berlandaskan ‘keadilan’ yang juga memberi hak membela dengan cara yang diperlukan menurut keadaan.

Dalam hal ini sama juga seperti kita menilai lebah. Apakah relevannya kita memberi kategori lebah kepada ‘moderat’ atau ‘ekstrim’? Hanya kerana kita takut akan sengatnya? Lebahkan tetap lebah! Selama ini lebah adalah serangga yang mencintai keamanan. Tidak harus ditakuti sekira haknya kita tidak cerobohi, kerana sudah jelas secara semulajadi (natural) bahwa lebah sememangnya mendukung kedamaian.


kenapa ibu (permaisuri) lebah pula di ancam?

Dalam kes ‘pengganasan Muslim’ (Muslim terrorists) ada semacam usaha memomok-momokkan kepada dunia ‘bahaya atau ancaman’ ini. Ada yang dengan mudah membuat rumusan bahwa puncanya adalah para pendidik Islam yang berada di madarasah. Sayang, tidak pula dinyatakan siapa, dimana, dan bukti-bukti lain-nya yang dapat dipertanggung-jawabkan. Yang jelas dituding secara umum adalah, “para pendakwah (the preachers)” yang disifatkannya sebagai “permaisuri-permaisuri lebah (Queen bees)” yang berada “di madrasah.” Mereka inilah yang dituduh sebagai mendidik pejuang berani mati (suicide bombers) atau boleh diqiyaskan sebagai ‘lebah-lebah nekad’.

Mungkin oleh kerana kurang kefahaman tentang lebah, dan kemudian didorong sentimen mereka-mereka yang membencikan lebah, patutkah sesiapa pun mencanangkan supaya permaisuri (ibu) serangga jenis lebah lah yang harus dijadikan sasaran pemburuan untuk dihapuskan? Ini pun hanya dengan alasan bahwa segelintir lebah-lebah telah didapati mengganas? Tetapi tidak pernah pula diselidiki dahulu dengan jujur tentang mengapakah lebah-lebah itu mengganas. Apakah benar andaian, “sebabnya adalah kerana lebah-lebah itu adalah jenis lebah”? Kerana mereka itu dididik untuk menjadi lebah? Kalau betul andaian ini, kenapa pula hanya segelintir lebah sahaja yang mengganas – tidak semua? Kemungkinan sebaliknya yakni ‘kerana mereka tidak dididik untuk benar-benar menjadi lebah sejati-lah’ yang lebih munasabah sebagai sebab atau menjadi punca masaalah. Jadi, huraian (solution) permaslahatan sebenar adalah menentukan pendidikan lebah dapat berjalan dengan betul dan baik, agar setiap lebah benar-benar menjadi lebah. Begitu juga ummat Islam, kita mestilah tentukan setiap Muslim dididik dengan sebaik-baiknya agar mereka benar-benar mampu mengikuti ajaran Islam seluruhannya (“ud-khulu fii-sil-mi kaa-afaa”). Bukan dengan menyingkirkan para pendakwah dan pendidik Islam!

Sayang! Dengan menggunakan alasan yang terlalu dangkal (simplistic) ada yang melaung-laungkan anjuran agar “permaisuri-permaisuri lebah” (“Queen bees”) yang mendidik lebah-lebah itulah harus dilihat sebagai puncanya dan mesti dipersalahkan. Seolah-olah masaalah penyengatan lebah yang dikatakan mengganas dapat dihentikan hanya dengan menyingkirkan ibu (permaisuri) lebah sahaja. Tetapi tidak dinyatakan pula permaisuri lebah yang mana satu yang dimaksudkan!? Sarang lebah yang mana!?

Mengancam permaisuri (ibu) lebah secara umum itukan boleh mendatangkan bahaya. Mungkin bangsa lebah yang tidak ada kena-mengena dengan lebah yang dikatakan ‘mengganas’ itu akan menganggap, ini adalah satu ancaman umum terhadap kewujudan seluruh keturunan bangsa lebah? Kerana permaisuri lebah adalah lambang induk kewujudan setiap lebah. Tidakkah ini hanya akan mengkusutkan lagi masaalah?

Sepatutnya, untuk menolak pengganasan, kita memerlukan kepekaan didalam menggunakan kata-kata dimuka umum, agar perkataan kita itu tidak pula di-labelkan sebagai satu “keganasan” pertuturan (verbal terrorism). Sehingga “yang tidak bersalah pun terkena serangan” dari tuduhan itu juga rasa terancam. Dan mungkin mereka pula akan menuduh ini adalah sebagai usaha penghapusan jenis (species) mereka, menganggapnya pula sebagai suatu jenayah kearah “genocide” (pembasmian kaum atau bangsa). Tidakkah membuat ancaman terhadap induk (ibu atau permaisuri) lebah serta menakut-nakutkan orang terhadap lebah ini nanti akan mengakibatkan merebaknya sikap (lebih tepat ianya adalah penyakit jiwa) yakni “apiphobia” – (membenci kepada bangsa lebah). Seperti lebah, terhadap Islam ada juga manusia yang menghidapi penyakit kejiwaan “Islamiphobia” (membenci Islam). Mengapakah memburukkan lagi keadaan? Kemanakah nanti bangsa lebah dan Muslim akan mengadukan hal ancaman terhadap mereka ini? Ya Allah! Kepada-Mu-lah sebaik-baik tempat kami menyerah. Engkaulah Penolong Kami, maka tolong lah kami terhadap mereka yang memusuhi kami.


Tanda-tanda bagi yang mahu berfikir ........

Sememangnya Islam telah menjadi sasaran kepada diayah pemburuk-burukan namanya oleh musuh-musuhnya sejak zaman Rasulullah s.a.w. Namun ummat Islam dengan tabah dan sabar menunjukkan kedamaian dan sikap tasamuh (toleransi dan sikap berlapang-dada), telah dapat menyingkir kesan diayah jahat untuk mencemar nama dan ajaran Islam. Dengan itu tersebarlah agama ini di merata alam merangkumi penganut berbagai bangsa dan tempat di dunia ini. Walaupun jumlah ummat Muslim kini menjangkau sekitar 1.2 billion, namun sikap ummat lain terhadap ummat Muslim ini (walaupun umumnya baik), kini telah mula diracuni semula oleh propaganda dari beberapa pihak-pihak tertentu. Ajaran agama Islam sengaja disalah ertikan dan keadaan-keadaan tertentu dijadikan semacam ‘bukti’, terutama sikap tindak-balas secara emosi (reactionary) setengah ummat Islam dalam percaturan politik dunia.

Untuk menangkis tohmahan terhadap Islam ini, terdorong dengan anjuran Allah s.w.t. didalam Al-Qur’an agar kita merenung kepada tamsilan (perumpamaan), diharap ummat Islam mendapat pedoman dan petunjuk kepada cara rasional menangani isu yang dibangkitkan. Kesamaan lebah dengan Islam itu amatlah berkesan untuk mereka yang mahu berfikir. Setiap ajaran-ajaran Islam itu tidak perlu di kompromi, dan setiap Muslim tidak perlu berasa bersalah atau “apologetic”, selagi kita berpegang teguh kepada ajaran suci darinya. Hakikat ini jelas kerana Islam adalah “agama Fitrah” (the natural religion) dan dengan mereka mencari-cari kesalahan pada Islam itu adalah sama juga seperti mereka mencari-cari kesalahan pada alam semula-jadi yang ada. Tanda-tanda kebesaran Allah itu amat jelas bagi setiap mereka yang ikhlas dalam menilai dan tidak bersikap angkuh dan sombong. Dan jika ada orang-orang yang masih menolak penjelasan darinya, ini tidak akan menghairankan kami kerana sikap orang-orang seperti ini telah pun diperkatakan oleh Allah s.w.t.:


“Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku.”

(Qur’an: al-A’raf: 7: 146)


“Demikianlah Allah mengunci mati hati orang yang sombong dan sewenang-wenang.”

(Qur’an: al-Mu’min:40: 35)






Wa-Allaahu a’lam

Zhulkeflee Hj Ismail.
1 Ramadhaan 1424H
-----------------------------------------------


------------------------------------------------

No comments: